pengarang@utusan.com.my
TIADA pilih kasih hanya calon
terbaik yang akan mengisi jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomat (PTD). Itu tegas
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam.
Menurut beliau, jawatan dalam
skim perkhidmatan awam itu tidak seperti dahulu lagi apabila setiap tahun
permohonan daripada calon yang layak untuk memohon ke jawatan itu terus
meningkat.
Skim berkenaan yang boleh
dikategorikan sebagai elit dalam sektor perkhidmatan awam kini mula mendapat
tempat di hati bukan sahaja lepasan pelajar di institusi pengajian tempatan
malah pelajar dari luar negara.
Malah, saingan kini bertambah
sengit apabila SPA mula mengintai pelajar terbaik negara yang sedang menuntut
di tahun akhir universiti luar negara untuk memohon mengisi jawatan tersebut.
"Sekarang SPA mula mengambil
langkah proaktif sejak tahun lalu untuk menemuduga pelajar tahun akhir yang
sedang belajar di luar negara untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam supaya
orang lain tidak sambar dahulu.
"Kalau SPA tidak tawarkan
skim ini kepada mereka, kita bimbang ilmu yang mereka peroleh ketika menuntut
di luar negara disumbangkan kepada negara luar dan sekali gus negara akan
kehilangan bakat terbaik," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di
pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.
Mahmood berkata, negara sering
kali terlepas untuk mendapatkan khidmat pelajar terbaik negara ini selepas
berjaya dipancing negara tempat mereka belajar dan syarikat swasta yang
menawarkan gaji lumayan.
Bagaimanapun, selepas usaha
agresif dan proaktif diambil oleh SPA pelajar dari luar negara mula membuka
mata dan menunjukkan minat untuk memohon ke jawatan tersebut.
Jelas beliau, biarpun SPA
berminat dengan pelajar luar negara untuk berkhidmat dalam kerajaan setiap
syarat yang telah ditetapkan sewaktu peperiksaan dan temuduga perlu dipatuhi.
Mahmood memberitahu, sebanyak
65,000 pemohon yang layak telah memohon untuk memasuki skim tersebut dan
daripada jumlah itu sebanyak 1,162 calon merupakan pelajar tahun akhir yang
sedang menuntut di institusi pengajian tinggi di Los Angeles, Chicago,
Washington DC, United Kingdom dan Australia.
Bagaimanapun, katanya, SPA hanya
membuat pengambilan sebanyak 300 tempat untuk calon-calon terbabit mengisi
jawatan tersebut untuk tahun ini yang mana hanya calon terbaik dipilih tanpa
memilih bulu.
Menurut beliau, daripada jumlah
itu satu pertiga jawatan dalam skim tersebut berjaya diisi oleh pelajar lulusan
luar negara.
"Tahun lalu kita menggunakan
kaedah konvensional dengan pergi ke luar negara untuk bertemu dengan pelajar
ini bagi menjalankan peperiksaan dan sesi temu duga namun, selepas ini kaedah
ini akan digantikan sepenuhnya menerusi sistem atas talian.
"Sejak kita menjalankan
promosi secara giat ramai dalam kalangan pelajar luar negara berminat memasuki
skim ini antaranya kerana gaji yang tinggi dan faedah menarik seperti pinjaman
perumahan sehingga RM400,000, pinjaman kenderaan sehingga RM60,000, komputer
sehingga RM5,000 dan faedah perubatan.
"Biarpun, mereka ini akan
bermula sebagai kadet PTD dan menerima bayaran elaun sebanyak RM 2,095 sebulan
selama setahun selepas itu, gaji yang akan diterima tidak kurang RM3,600
sebulan bergantung kepada kelayakan yang ada," katanya.
Dalam pada itu, salah seorang
pelajar terbaik negara yang berjaya memasuki skim tersebut yang turut ditemui,
Muazam Shah Mat Nor, 27, menyifatkan peluang yang diberikan untuk berkhidmat
dalam sektor kerajaan sangat dinanti-nantikan kerana berkesempatan menabur
bakti dengan ilmu yang diperoleh dari luar negara.
Dia yang merupakan pemegang
Ijazah Sarjana Kejuruteraan Alam Sekitar dan Sarjana Muda Kejuruteraan Bahan
dari Universiti Teknologi Toyohashi Jepun berkata, ilmu yang diperoleh dari
Jepun mampu digunakan dalam perkhidmatan awam bagi meningkatkan lagi keberkesanan
sektor awam terhadap pelanggan.
"Saya sedar ada tawaran
menarik dari syarikat swasta dan di Jepun sendiri namun, tawaran yang
disediakan dalam PTD juga tidak kurang menarik malah kita mampu merangka dasar
kerajaan bagi memantapkan lagi perkhidmatan awam," katanya.
Seorang lagi calon lulusan luar
negara, Noor Amanina Mohd. Noor, 24, yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana
Muda Biochemsitry dan Bioteknologi Universiti East Lansing Michigan berkata,
dia mengambil peperiksaan PTD pada tahun lalu di Amerika Syarikat ketika
menuntut pada tahun akhir.
Katanya, selain perlu mengetahui
bidang yang dipelajari semua calon juga perlu mengetahui hal ehwal semasa
terutamanya yang berlaku sama ada dalam atau luar negara.
Menurut pemegang Ijazah Sarjana
Muda Kejuruteraan Kimia Institusi Teknologi Royal Melbourne, Victoria
Australia, Nurul Amalia Zawawi, 24, biarpun dianggap mempunyai kelebihan
sebagai pelajar lulusan luar negara, status tersebut sedikit pun tidak memberi
kelebihan.
Katanya, calon lulusan institusi
pengajian tinggi tempatan juga mempunyai kelebihan tersendiri, malah lebih
mengetahui mengenai hal ehwal semasa dalam negara.
"Saya mengambil peperiksaan
ini di Melbourne ketika menuntut pada tahun akhir dan bagi mengetahui hal ehwal
semasa terutamanya di Malaysia kami perlu melayari berita atas talian bagi
mendapatkan maklumat terkini.
"Pengalaman yang tidak dapat
dilupakan adalah ketika ditemu duga sendiri oleh Pengerusi SPA pada mulanya
memang agak gementar tetapi sikap beliau yang tenang dan ramah membuatkan kami
hilang takut," katanya. – Utusan Online, 23 September 2014