Thursday, September 8, 2011

18 skim sektor awam wajar contohi sistem PTD

2011/09/08 -- Berita Harian Online

PERKHIDMATAN awam di negara kini melalui agenda tranformasi menyeluruh sejajar dengan hasrat Perdana Menteri untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan, menjelang 2020 apabila negara muncul sebagai negara maju. Sebagai sektor tulang belakang, sektor awam bertanggungjawab bagi memastikan segala agenda dan rancangan kerajaan dilaksanakan dengan sempurna. Kini terdapat 19 klasifikasi perkhidmatan yang menyerap semua jenis kerja sektor awam. 

Selaras itu, umum mengetahui skim Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) adalah disifatkan penanda aras penyampaian perkhidmatan sektor awam.
Penanda aras termasuk kaedah pengambilan, latihan, modul latihan, peluang pembangunan modal insan, keluasan bidang tugas yang merangkumi diplomatik yang mencakupi dalam dan luar negara serta penyampaian perkhidmatan berprestasi tinggi dan mentaliti minda kelas pertama penjawatnya.
Saya bukanlah dalam kalangan PTD, tetapi saya mendapati skim PTD begitu kemas dan tidak diragui sebagai penanda aras dalam sektor awam. Justeru, 18 skim lain dalam perkhidmatan awam wajar mencontohi skim PTD ini, bermula dari kaedah pengambilan, latihan, modul latihan, kursus yang diberikan serta peluang kenaikan pangkat, melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi berasakan inovasi serta kreativiti masing-masing. 

Mengambil contoh skim dalam Jabatan Penerangan bermula daripada hierarki Pembantu Penerangan, Penolong Pegawai Penerangan, Pegawai Penerangan bermula dengan gred 17 pada peringkat daerah. Didapati beban tugas berkenaan tidak terpikul seorang Pembantu Penerangan Gred S17 yang berasakan kelulusan pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia berbanding kumpulan sasar yang semakin licik dan jauh terkehadapan. 

Itulah sebabnya skim PTD memulakan hierarki dengan gred M41 kerana skim ini diwujudkan sebagai pemimpin skim selainnya. 

Pada masa sama juga apabila penjawat awam itu bermula dengan gred M41 maka peluang mereka naik ke hierarki lebih tinggi adalah cerah berbanding mereka yang memasuki perkhidmatan awam dengan gred kumpulan sokongan. 
Saya ingin mengesyorkan agar Ketua Jabatan selain skim PTD mengambil pendekatan muhasabah (penilaian) dan murokabah (membuat perancangan masa hadapan) daripada skim PTD supaya melaksanakan kaedah pengambilan serta latihan seperti dilaksanakan skim PTD. Sudah sampai masanya juga skim lain membuat tranformasi perkhidmatan seperti mempercepatkan momentum kaedah naik pangkat berbanding dengan peraturan konvensional yang perlahan dan lambat. 

YOSRI ABU MAHSIN,
Putrajaya.
 

No comments: