SERANGAN spekulator ke atas pasaran niaga hadapan bagi minyak terutamanya berhubung isu keselamatan di negara pengeluar memacu kenaikan drastik harga bahan mentah itu di pasaran dunia.
Dunia kini sedang berhadapan dengan pelbagai konflik semasa. Ancaman konflik bersenjata di Asia Barat dilihat semakin meruncing. Konflik di antara Israel dan Palestin yang berlaku sejak 1940-an hingga kini masih belum menemui jalan penyelesaian yang jitu.
Kini, krisis tersebut dilihat menular ke peringkat yang lebih meruncing. Ancaman Amerika Syarikat (AS) terhadap Syria dan Iran yang dianggap musuh kedamaian kepada Israel menyebabkan rantau Asia Barat yang merupakan ‘Antartika minyak dunia’ tidak lagi selamat. Untuk rekod, Asia Barat adalah kawasan pembekal kepada 29 peratus keperluan minyak dunia.
Tanggapan kawasan pengeluar minyak ini tidak selamat menambah parahkan lagi spekulasi ke atas pasaran niaga hadapan bagi minyak dan seterusnya meningkatkan harga ke atas pembekalan komoditi terbabit. Inilah bahana apabila negara-negara dunia bertindak untuk ‘memperkasakan’ keselamatan konvensional masing-masing meliputi aspek ketenteraan melebihi ‘pemerkasaan’ ketahanan daripada segi survival dan keperluan asasi rakyat.
Lihat sahaja kepada statistik perbelanjaan ketenteraan yang dilakukan oleh negara-negara maju, AS sahaja di antara tahun 2001 hingga 2006, secara rasminya di anggarkan membelanjakan sejumlah AS$545 bilion, diikuti Rusia (AS$25 bilion), China (AS$45 bilion), Perancis (AS$50 bilion), Britain (AS$55 bilion), Jerman (AS$40 bilion) dan Jepun AS$50 bilion.
Sehingga September 2006, rekod menunjukkan daripada sejumlah 1.1 juta ketumbukan ketenteraan AS, sebanyak 333 ribu tentera berada di luar AS. Sebanyak 55 peratus atau lebih 212 ribu tenteranya mengikuti misi ketenteraan luar negara yang ditempatkan di negara-negara Asia Barat yang juga merupakan negara bersejarah dunia Islam. Ini menunjukkan AS memang berhasrat menguasai dan memastikan rantau ‘Antartika minyak dunia’ pada bila-bila masa berada dalam lingkungan ‘keselamatannya.’
Ini sungguh menghairankan, kerana dari segi pengajian konflik dunia, Afrika merupakan kawasan bergolak paling aktif, namun AS hanya menempatkan seramai 1,700 tenteranya, dan ia adalah jumlah peratusan yang kurang dari satu peratus berbanding keseluruhan pasukan operasi luar negaranya. Ini semua membuktikan bahawa peranan ‘askar pengaman’ AS hanya bertujuan strategik tertentu bagi kuasa besar itu.
Apakah muslihat di sebalik penempatan ketenteraan AS yang begitu ramai di negara-negara Islam, terutamanya di kawasan yang merupakan rizab eksport minyak dunia? Ini menunjukkan bahawa dalam dasar luar AS, percaturan minyak merupakan satu doktrin dalam kamus keselamatannya.
Selain itu, keupayaan syarikat-syarikat minyak gergasi dari negara kuasa besar tersebut untuk meneroka dan menguasai medan minyak dilihat sebagai satu lagi mekanisme penguasaan sumberbekalan yang begitu penting.
Dalam konteks keselamatan Malaysia, jaminan keselamatan medan minyak negara untuk terus dikuasai penerokaan oleh syarikat milik nasional harus dilihat sebagai agenda negara. Jika AS sanggup melakukan apa sahaja tindakan terhadap dunia semata-mata bagi memperluaskan jaringan capaiannya terhadap sumber minyak, maka Malaysia tidak harus menggadaikan kepentingan nasional dengan memberikan konsesi kepada syarikat asing.
Tindakan pembangkang yang mengemukakan cadangan tersebut pada sesi Parlimen baru-baru ini dilihat sebagai satu cadangan dangkal dan tidak memikirkan kepentingan strategik nasional. Hanya mahukan royalti yang berganda, ketamakan pembangkang akan menjejaskan kepentingan sumber negara untuk jangka panjang.
Tindakan pembangkang seolah-olah mahu pemberian tender dibuka kepada syarikat asing amat dikesali kerana ia boleh menggadaikan kepentingan minyak dan ekonomi negara. Sokongan AS kepada sesetengah pemimpin pembangkang di negara ini juga amat dicurigai, dan rakyat perlu menilai sokongan ini sama ada ia benar-benar telus atau mempunyai sebab dan makna tertentu. Tidak mudah bagi AS memberikan sokongan ‘kemanusiaan’ jika tanpa sebab dan alasan tertentu yang menguntungkan mereka.
Sejarah politik dunia menyaksikan bahawa Iraq dan rakyatnya di bawah pimpinan Saddam bertungkus lumus mempertahankan kedaulatannya daripada dicerobohi AS dan sekutunya yang tindak tanduknya berteraskan kepada cubaan penguasaan ke atas minyak.
Oleh itu, langkah pembangkang mengemukakan pandangan kepada kerajaan negara ini untuk membuka tender penerokaan minyak kepada syarikat asing dapat dinilai sebagai satu langkah ‘menggugat’ peranan syarikat minyak tempatan iaitu Petronas yang saban tahun berjaya memberi sumbangan melebihi 30 peratus daripada bajet negara.
Bayangkan jika tiada Petronas dan syarikat milik kerajaan (GLC) lainnya, berapakah dana bajet yang tinggal. Di manakah wang untuk menampung kekurangan tersebut dapat diperolehi? Pemimpin-pemimpin, tanpa mengira ideologi parti harus lebih berhati-hati dan bersikap patriot melebihi daripada hanya mengemukakan retorik politik dalam badan legislatif negara yang akhirnya menunjukkan kedangkalan pemikiran dan tindakan kepimpinan mereka.
Untuk itu, senario antarabangsa kini jelas menunjukkan bahawa minyak ialah satu sumber strategik. Negara yang menguasai minyak akan menguasai dunia. Barangkali hujah mengatakan peperangan di Iraq dan Asia Barat serta persengketaan yang berterusan mampu dirumus sebagai satu langkah AS untuk menguasai kepentingan minyak di rantau itu adalah benar dan berasas.
Perdagangan minyak hanyalah di atas kertas sahaja ada benarnya, jika dilihat daripada fakta bahawa kebanyakan proses jual beli minyak mentah di pasaran antarabangsa melibatkan London, New York dan Singapura tidak pun berlaku perdagangan minyak secara fizikal. Fakta tahun 2003 misalnya menunjukkan jumlah perdagangan pasaran hadapan di ketiga-tiga pasaran utama minyak mentah dunia melonjak ketara dengan melibatkan 100 bilion tong iaitu lebih besar daripada pengeluaran minyak dunia.
Untuk rekod juga, keluaran minyak dunia pada 2008 dianggarkan hanya dalam kapasiti 91.28 juta tong sehari jika digabungkan Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Minyak (OPEC) dan bukan anggota OPEC.
OPEC yang merangkumi 12 negara anggota membekalkan sejumlah 37.10 juta tong sehari, dan bukan OPEC merangkumi lebih 27 negara termasuk Malaysia secara keseluruhannya menyumbang kepada pasaran antarabangsa dengan mengeluarkan 54.18 juta tong minyak sehari.
AS yang juga negara bukan OPEC sebenarnya mengikut perangkaan EIA untuk 2008 ini, dijangkakan akan mampu mengeluarkan sejumlah 8.67 juta tong minyak mentah sehari, ini hampir menyamai pengeluaran Arab Saudi yang mengeluarkan 9.1 juta tong sehari.
Ini menunjukkan bahawa dengan kenaikan harga minyak mentah semasa dunia kini, maka AS juga mempunyai kepentingan yang jelas dan nyata dalam pasaran minyak mentah antarabangsa.
Justeru, hipotesis bahawa kenaikan harga minyak di pasaran global kini jelas tidak ada kaitan langsung dengan tindakan pembekalan dan permintaan dalam pasaran antarabangsa, sebaliknya adalah lebih merupakan tindakan ‘penyangak spekulasi’ yang hanya bertindak mengaut untung yang besar atas kesengsaraan masyarakat dunia. Lihat sahaja polemik kewangan yang dihadapi negara masa kini, ia jelas berkait rapat dari kesan rantaian akibat kenaikan harga spekulatif minyak mentah yang melonjak seolah-olah tiada berpenghujung.
Inilah kesan manipulatif dan spekulatif antarabangsa terhadap dunia. Sikap AS yang sering merancang ketidakstabilan ke atas negara pengeksport utama minyak adalah bermotifkan dasar luar yang mahu melihat negara-negara membangun seperti Malaysia, terutamanya negara Islam mengalami kesulitan kewangan dan membantutkan pembangunannya. Harapan akhirnya, satu persatu negara-negara dunia akan ‘melutut’ kepada AS dan institusi kewangan antarabangsa yang jelas proksi kepada permainan politik Washington.
Kini persoalan ‘politik minyak’ yang berlaku di peringkat antarabangsa tidak seharusnya dibiarkan berleluasa. Satu langkah pembetulan perlu dilakukan segera dan bersifat sejagat. Negara-negara membangun dan Islam dalam platform Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan juga Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) seharusnya mula memikirkan usaha untuk mengalihkan pasaran niaga hadapan bagi minyak kepada pihak pengeksport dan juga pembeli secara terus tanpa perlu lagi melalui kaedah pasaran seperti sedia ada yang dipraktikkan secara kapitalis membuta tuli.
Malaysia harus memainkan peranan lebih aktif untuk menyedarkan masyarakat antarabangsa dan juga pelbagai lapisan masyarakat negara ini tanpa mengira kerajaan mahupun pembangkang betapa buruknya kegiatan tidak bermoral ‘penyangak dan spekulator komoditi.’
Pimpinan dan rakyat keseluruhannya harus melihat bahana percaturan politik minyak di persada antarabangsa ini tidak harus diabaikan. Ini kerana kesannya juga akan turut melanda negara kita yang pasti lebih dahsyat daripada gugatan krisis ekonomi akibat spekulasi mata wang pada 1997 lalu. -- Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment