2012/01/20
KEBELAKANGAN ini akhbar banyak melaporkan aktiviti remaja yang tidak bercorak membina untuk pembangunan diri demi masa depan mereka dan negara.
Emosi sangat dominan ketika di alam remaja. Dikatakan bahawa sebahagian besar tindakan yang dibuat remaja berdasarkan emosi, manakala apabila meningkat dewasa akal pula lebih dominan, yang mana sebahagian besar tindakan yang diambil berdasar pemikiran. Walau bagaimanapun pendapat ini tidaklah konsisten. Ini bergantung kepada sejauh tahap kecerdasan emosi dan kecerdasan intelektual yang dimiliki individu berkenaan.
Mengikut pandangan ahli psikologi, ada dua faktor utama yang menentukan kecemerlangan seseorang manusia. Pertama ialah, kecerdasan intelektual (IQ) dan kedua kecerdasan emosi (EQ).
Walaupun kecerdasan intelektual (IQ) kelihatan begitu utama menentukan kejayaan seseorang individu, namun ahli psikologi telah menemui bukti bahawa faktor utama yang membawa kejayaan ialah kecerdasan emosi (EQ). Ini dinyatakan oleh Goleman, D (1998) bahawa penilaian seseorang individu bukan saja diasaskan kepada kecerdasan intelektual (IQ), tetapi yang lebih penting ialah kecerdasan emosi (EQ). EQ meninggalkan kesan yang mendalam dalam keseluruhan aspek kehidupan seseorang individu, termasuk aspek kesihatan dan sosial.
Kecerdasan emosi ialah tahap keupayaan seseorang individu mengurus emosi. Ertinya jika seseorang sedang marah, dia berupaya mengawal kemarahannya itu dengan tidak melakukan perkara merugikan diri dan orang ramai ketika mempamerkan rasa marah itu. Banyak kisah dan cerita menunjukkan tidak semua manusia mempunyai IQ yang tinggi berjaya dalam kehidupan.
Sebaliknya, manusia yang mempunyai EQ yang tinggi lebih berjaya, walaupun mereka ini apabila diukur dalam aspek IQ dengan berdasarkan taraf pendidikan adalah tidak seberapa.
Sebagai contoh, Bill Gates, pengasas Windows dikatakan seorang pelajar yang tidak dapat menghabiskan pelajaran tingginya, tetapi sangat berjaya dalam dunia perniagaan perisian komputer.
Begitu juga dengan Tan Sri Lim Goh Tong, tidak fasih berbahasa Inggeris sebaliknya hanya berurusniaga dengan menggunakan Bahasa Mandarin dan Bahasa Melayu, tetapi menjadi orang terkaya di Asia Tenggara dengan nilai kekayaan sebanyak RM421.8 bilion.
Secara umum, kelihatan Datuk Seri Najib Razak sangat berjaya dalam mengurus emosinya. Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, kutukan dan tohmahan, didapati beliau sentiasa tenang dan senyum ketika memberi ucapan atau menjawab soalan daripada wartawan.
Berbeza dengan sesetengah ahli politik yang lain, sekali sekala menampakkan api kemarahan, melenting dan menjawab menggunakan nada suara yang tinggi serta bahasa yang kasar apabila mereka dalam keadaan yang sama.
Jalan Gong Badak,
Kuala Terengganu.