Wednesday, September 24, 2014

Tiada Pilih Kasih Mohon Skim PTD

Oleh: Sharamei Shaik Ahmedullah
pengarang@utusan.com.my


TIADA pilih kasih hanya calon terbaik yang akan mengisi jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomat (PTD). Itu tegas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam.

Menurut beliau, jawatan dalam skim perkhidmatan awam itu tidak seperti dahulu lagi apabila setiap tahun permohonan daripada calon yang layak untuk memohon ke jawatan itu terus meningkat.

Skim berkenaan yang boleh dikategorikan sebagai elit dalam sektor perkhidmatan awam kini mula mendapat tempat di hati bukan sahaja lepasan pelajar di institusi pengajian tempatan malah pelajar dari luar negara.

Malah, saingan kini bertambah sengit apabila SPA mula mengintai pelajar terbaik negara yang sedang menuntut di tahun akhir universiti luar negara untuk memohon mengisi jawatan tersebut.

"Sekarang SPA mula mengambil langkah proaktif sejak tahun lalu untuk menemuduga pelajar tahun akhir yang sedang belajar di luar negara untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam supaya orang lain tidak sambar dahulu.

"Kalau SPA tidak tawarkan skim ini kepada mereka, kita bimbang ilmu yang mereka peroleh ketika menuntut di luar negara disumbangkan kepada negara luar dan sekali gus negara akan kehilangan bakat terbaik," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Mahmood berkata, negara sering kali terlepas untuk mendapatkan khidmat pelajar terbaik negara ini selepas berjaya dipancing negara tempat mereka belajar dan syarikat swasta yang menawarkan gaji lumayan.

Bagaimanapun, selepas usaha agresif dan proaktif diambil oleh SPA pelajar dari luar negara mula membuka mata dan menunjukkan minat untuk memohon ke jawatan tersebut.

Jelas beliau, biarpun SPA berminat dengan pelajar luar negara untuk berkhidmat dalam kerajaan setiap syarat yang telah ditetapkan sewaktu peperiksaan dan temuduga perlu dipatuhi.

Mahmood memberitahu, sebanyak 65,000 pemohon yang layak telah memohon untuk memasuki skim tersebut dan daripada jumlah itu sebanyak 1,162 calon merupakan pelajar tahun akhir yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi di Los Angeles, Chicago, Washington DC, United Kingdom dan Australia.

Bagaimanapun, katanya, SPA hanya membuat pengambilan sebanyak 300 tempat untuk calon-calon terbabit mengisi jawatan tersebut untuk tahun ini yang mana hanya calon terbaik dipilih tanpa memilih bulu.

Menurut beliau, daripada jumlah itu satu pertiga jawatan dalam skim tersebut berjaya diisi oleh pelajar lulusan luar negara.

"Tahun lalu kita menggunakan kaedah konvensional dengan pergi ke luar negara untuk bertemu dengan pelajar ini bagi menjalankan peperiksaan dan sesi temu duga namun, selepas ini kaedah ini akan digantikan sepenuhnya menerusi sistem atas talian.

"Sejak kita menjalankan promosi secara giat ramai dalam kalangan pelajar luar negara berminat memasuki skim ini antaranya kerana gaji yang tinggi dan faedah menarik seperti pinjaman perumahan sehingga RM400,000, pinjaman kenderaan sehingga RM60,000, komputer sehingga RM5,000 dan faedah perubatan.

"Biarpun, mereka ini akan bermula sebagai kadet PTD dan menerima bayaran elaun sebanyak RM 2,095 sebulan selama setahun selepas itu, gaji yang akan diterima tidak kurang RM3,600 sebulan bergantung kepada kelayakan yang ada," katanya.

Dalam pada itu, salah seorang pelajar terbaik negara yang berjaya memasuki skim tersebut yang turut ditemui, Muazam Shah Mat Nor, 27, menyifatkan peluang yang diberikan untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan sangat dinanti-nantikan kerana berkesempatan menabur bakti dengan ilmu yang diperoleh dari luar negara.

Dia yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Kejuruteraan Alam Sekitar dan Sarjana Muda Kejuruteraan Bahan dari Universiti Teknologi Toyohashi Jepun berkata, ilmu yang diperoleh dari Jepun mampu digunakan dalam perkhidmatan awam bagi meningkatkan lagi keberkesanan sektor awam terhadap pelanggan.

"Saya sedar ada tawaran menarik dari syarikat swasta dan di Jepun sendiri namun, tawaran yang disediakan dalam PTD juga tidak kurang menarik malah kita mampu merangka dasar kerajaan bagi memantapkan lagi perkhidmatan awam," katanya.

Seorang lagi calon lulusan luar negara, Noor Amanina Mohd. Noor, 24, yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Biochemsitry dan Bioteknologi Universiti East Lansing Michigan berkata, dia mengambil peperiksaan PTD pada tahun lalu di Amerika Syarikat ketika menuntut pada tahun akhir.

Katanya, selain perlu mengetahui bidang yang dipelajari semua calon juga perlu mengetahui hal ehwal semasa terutamanya yang berlaku sama ada dalam atau luar negara.

Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia Institusi Teknologi Royal Melbourne, Victoria Australia, Nurul Amalia Zawawi, 24, biarpun dianggap mempunyai kelebihan sebagai pelajar lulusan luar negara, status tersebut sedikit pun tidak memberi kelebihan.

Katanya, calon lulusan institusi pengajian tinggi tempatan juga mempunyai kelebihan tersendiri, malah lebih mengetahui mengenai hal ehwal semasa dalam negara.

"Saya mengambil peperiksaan ini di Melbourne ketika menuntut pada tahun akhir dan bagi mengetahui hal ehwal semasa terutamanya di Malaysia kami perlu melayari berita atas talian bagi mendapatkan maklumat terkini.

"Pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah ketika ditemu duga sendiri oleh Pengerusi SPA pada mulanya memang agak gementar tetapi sikap beliau yang tenang dan ramah membuatkan kami hilang takut," katanya. – Utusan Online, 23 September 2014