Showing posts with label kerja kerajaan. Show all posts
Showing posts with label kerja kerajaan. Show all posts

Thursday, June 15, 2017

Bersyukurlah Dengan Pekerjaan Kamu

Aku kerja hari-hari dari pukul 8 pagi hingga pukul 6 petang. Itu waktu pejabat atas kertas sahaja. Petang hingga awal malam asyik kena hadir majlis makan malam, majlis perjumpaan, macam-macam majlis. Tengah malam pula, pergi operasi. Masuk tapak pembinaan penuh lubang, kayu tajam, paku berkarat. Balik rumah awal pagi. Letih mengantuk tak cukup rehat.

Mesyuarat hampir setiap hari. Tiap jam ada staf dan pegawai datang jumpa. Beratus-ratus keputusan sehari kena buat. Silap hari bulan, esok datang SPRM, kena tata tertib, kena buang kerja, hilang pencen.

Hari minggu terbang ke Ibu Pejabat. Kadang-kadang pergi dengan kereta. Merempuh 7-8 jam perjalanan. Pergi sana kerana mesyuarat dengan bos besar. Terima pengarahan baru yang harus dilaksanakan. Ada polisi baru. Ada program baru. 

Akhir bulan, gaji masuk. Tolak sana tolak sini, belanja benda itu belanja benda ini. Bil-bil juga sampai rumah. Semua juga kena bayar. Semak-semak baki, tinggal serba sedikit untuk Tabung Haji, ASB dan bagi pada orang tua.

Bila fikir-fikir, kerja seperti kuba balar. Galo sana galo sini. Fikir nak pecah kepala. Nak pergi kerja, balik kerja asyik risau takut ada orang ikut. Mata tak pernah lekang tegok cermin belakang, cermin sisi kereta kalau-kalau ada orang cuba rapat. Masa rehat, masa nak berkebun, masa nak berbadminton hampir tiada. Cubaan orang nak bagi duit ada sentiasa.

Tapi gaji banyak tu jer. Bonus bantuan kewangan pun RM500 sahaja. Kereta tak besar mana. Rumah pun rumah lama. Tak berapa cukup nak buat ubahsuai. Hutang rumah pun lama lagi nak habis bayar. 

Tak macam kawan-kawan sesekolah dan sedarjah dulu. Ada syarikat kapal, ada syarikat minyak, ada syarikat IT. Ada gaji RM50,000 sebulan, ada gaji lebih RM100,000 sebulan. Ada yang dapat bonus 6 bulan, ada 12 bulan. Ada rumah macam istana. Kereta Mercedes, Lexus 4x4, BMW, pergi melancong ke London, Paris, Tokyo, main salji. 

Mereka mampu menderma bersedeqah buat sekolah tahfiz, buat serambi surau, beli 3-4 ekor lembu buat korban untuk orang miskin, beri sumbangan kepada kawan-kawan sudah beratur-ratus ringgit. Tiap tahun, tiap 6 bulan terbang ke Mekah buat umrah.

Hari minggu mereka lepak sama kawan-kawan, main golf, memancing laut dalam dengan kapal besar, menembak, berkaraoke. Sembang projek besar beratus ribu, berjuta-juta. Untung cukup untuk bayar deposit kereta dan buat rumah baru.

Bestnya kalau dapat jadi macam kawan-kawan yang kaya, senang dan gembira. Rasa macam nak berhenti kerja kerajaan nih. Nak berniaga macam kawan-kawan. Nak senang dan kaya macam kawan-kawan.

Ish ishh ishhh. Astaghfirullahal'azim. Kabar tak aku nih? 

Tahu tak, aku kerja ni, walau kerja banyak, berbahaya, tak cukup masa berehat, berisiko, tapi kerja aku ini adalah untuk negara. Keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat bergantung kepada kerja aku ni. Jika aku tak buat kerja, kedaulatan negara akan pasti tergadai! Anak bangsa mungkin rosak telan dadah, telan pil kuda, langgar pelacur, berjudi. Peluang berniaga dan pekerjaan mungkin kena rampas oleh orang asing kalau aku pejam mata.

Aku mungkin tak dapat pergi umrah, aku mungkin tak mampu bersedeqah, aku mungkin tidak ada masa untuk membaca quran, tetapi kerja aku ini membawa manfaat kepada 30 juta rakyat Malaysia. Bayangkan berapa pahala yang mungkin tuhan bagi aku sebagai ganjaran jika aku bersyukur dan ikhlas buat kerja!

Kerja aku nampak berat walau gaji kecil. Namun tahu tak, aku ada kuasa menangkap orang buat salah. Boleh mendakwa orang yang melanggar undang-undang. Aku boleh masuk airport sampai ke pintu kapal terbang. Aku boleh berjalan dan bersalam dengan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Menteri Besar, Ketua Jabatan Kerajaan. Kalau aku ada masalah, aku boleh telefom je kawan-kawan dalam kerajaan.

Haaaa...kawan kau yang kaya senang ada keistimewaan macam kau ada? Emmm...

Eh lagu tu pulok. Okay lah. Tak jadi resign lah. Banyak juga benda yang aku tak tahu kerja kerajaan ni. Banyak kelebihan dan keistimewaan.

Aku insaf. Aku nak kerja rajin-rajin sampai pencen. Aku nak berbakti pada rakyat, negeri, negara, bangsa dan agamaku. Aku bersyukur kerana dapat kerja ini.

Nukilan Ripin Niknah

Wednesday, September 24, 2014

Tiada Pilih Kasih Mohon Skim PTD

Oleh: Sharamei Shaik Ahmedullah
pengarang@utusan.com.my


TIADA pilih kasih hanya calon terbaik yang akan mengisi jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomat (PTD). Itu tegas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam.

Menurut beliau, jawatan dalam skim perkhidmatan awam itu tidak seperti dahulu lagi apabila setiap tahun permohonan daripada calon yang layak untuk memohon ke jawatan itu terus meningkat.

Skim berkenaan yang boleh dikategorikan sebagai elit dalam sektor perkhidmatan awam kini mula mendapat tempat di hati bukan sahaja lepasan pelajar di institusi pengajian tempatan malah pelajar dari luar negara.

Malah, saingan kini bertambah sengit apabila SPA mula mengintai pelajar terbaik negara yang sedang menuntut di tahun akhir universiti luar negara untuk memohon mengisi jawatan tersebut.

"Sekarang SPA mula mengambil langkah proaktif sejak tahun lalu untuk menemuduga pelajar tahun akhir yang sedang belajar di luar negara untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam supaya orang lain tidak sambar dahulu.

"Kalau SPA tidak tawarkan skim ini kepada mereka, kita bimbang ilmu yang mereka peroleh ketika menuntut di luar negara disumbangkan kepada negara luar dan sekali gus negara akan kehilangan bakat terbaik," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Mahmood berkata, negara sering kali terlepas untuk mendapatkan khidmat pelajar terbaik negara ini selepas berjaya dipancing negara tempat mereka belajar dan syarikat swasta yang menawarkan gaji lumayan.

Bagaimanapun, selepas usaha agresif dan proaktif diambil oleh SPA pelajar dari luar negara mula membuka mata dan menunjukkan minat untuk memohon ke jawatan tersebut.

Jelas beliau, biarpun SPA berminat dengan pelajar luar negara untuk berkhidmat dalam kerajaan setiap syarat yang telah ditetapkan sewaktu peperiksaan dan temuduga perlu dipatuhi.

Mahmood memberitahu, sebanyak 65,000 pemohon yang layak telah memohon untuk memasuki skim tersebut dan daripada jumlah itu sebanyak 1,162 calon merupakan pelajar tahun akhir yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi di Los Angeles, Chicago, Washington DC, United Kingdom dan Australia.

Bagaimanapun, katanya, SPA hanya membuat pengambilan sebanyak 300 tempat untuk calon-calon terbabit mengisi jawatan tersebut untuk tahun ini yang mana hanya calon terbaik dipilih tanpa memilih bulu.

Menurut beliau, daripada jumlah itu satu pertiga jawatan dalam skim tersebut berjaya diisi oleh pelajar lulusan luar negara.

"Tahun lalu kita menggunakan kaedah konvensional dengan pergi ke luar negara untuk bertemu dengan pelajar ini bagi menjalankan peperiksaan dan sesi temu duga namun, selepas ini kaedah ini akan digantikan sepenuhnya menerusi sistem atas talian.

"Sejak kita menjalankan promosi secara giat ramai dalam kalangan pelajar luar negara berminat memasuki skim ini antaranya kerana gaji yang tinggi dan faedah menarik seperti pinjaman perumahan sehingga RM400,000, pinjaman kenderaan sehingga RM60,000, komputer sehingga RM5,000 dan faedah perubatan.

"Biarpun, mereka ini akan bermula sebagai kadet PTD dan menerima bayaran elaun sebanyak RM 2,095 sebulan selama setahun selepas itu, gaji yang akan diterima tidak kurang RM3,600 sebulan bergantung kepada kelayakan yang ada," katanya.

Dalam pada itu, salah seorang pelajar terbaik negara yang berjaya memasuki skim tersebut yang turut ditemui, Muazam Shah Mat Nor, 27, menyifatkan peluang yang diberikan untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan sangat dinanti-nantikan kerana berkesempatan menabur bakti dengan ilmu yang diperoleh dari luar negara.

Dia yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Kejuruteraan Alam Sekitar dan Sarjana Muda Kejuruteraan Bahan dari Universiti Teknologi Toyohashi Jepun berkata, ilmu yang diperoleh dari Jepun mampu digunakan dalam perkhidmatan awam bagi meningkatkan lagi keberkesanan sektor awam terhadap pelanggan.

"Saya sedar ada tawaran menarik dari syarikat swasta dan di Jepun sendiri namun, tawaran yang disediakan dalam PTD juga tidak kurang menarik malah kita mampu merangka dasar kerajaan bagi memantapkan lagi perkhidmatan awam," katanya.

Seorang lagi calon lulusan luar negara, Noor Amanina Mohd. Noor, 24, yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Biochemsitry dan Bioteknologi Universiti East Lansing Michigan berkata, dia mengambil peperiksaan PTD pada tahun lalu di Amerika Syarikat ketika menuntut pada tahun akhir.

Katanya, selain perlu mengetahui bidang yang dipelajari semua calon juga perlu mengetahui hal ehwal semasa terutamanya yang berlaku sama ada dalam atau luar negara.

Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia Institusi Teknologi Royal Melbourne, Victoria Australia, Nurul Amalia Zawawi, 24, biarpun dianggap mempunyai kelebihan sebagai pelajar lulusan luar negara, status tersebut sedikit pun tidak memberi kelebihan.

Katanya, calon lulusan institusi pengajian tinggi tempatan juga mempunyai kelebihan tersendiri, malah lebih mengetahui mengenai hal ehwal semasa dalam negara.

"Saya mengambil peperiksaan ini di Melbourne ketika menuntut pada tahun akhir dan bagi mengetahui hal ehwal semasa terutamanya di Malaysia kami perlu melayari berita atas talian bagi mendapatkan maklumat terkini.

"Pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah ketika ditemu duga sendiri oleh Pengerusi SPA pada mulanya memang agak gementar tetapi sikap beliau yang tenang dan ramah membuatkan kami hilang takut," katanya. – Utusan Online, 23 September 2014