Tuesday, May 1, 2012

Program Offset Pertahanan

Kuala Lumpur, 1 Mei 2012: Setiap ringgit yang diperuntukkan untuk perolehan peralatan kapital pertahanan hendaklah memberi impak dan kesan kepada pembangunan keupayaan industri pertahanan negara.   Pelaksanaan program offsets merupakan strategi serampang dua mata perbelanjaan perolehan pertahanan. Usaha melengkapkan ATM dengan aset dan persenjataan moden, selain daripada untuk memperkukuhkan kesiapsiagaan pertahanan negara, ianya juga hendaklah digunakan untuk membangunkan industri pertahanan tempatan. Kewujudan syarikat-syarikat tempatan yang berwibawa akan memberi kesan langsung kepada pertahanan berdikari atau self-reliance. Pemindahan teknologi tinggi, penyelidikan dan pembangunan, pengeluaran dan pemasangan di dalam negara serta pembangunan vendor daripada program offsets akan memberi kesan berganda kepada keupayaan industri dan ekonomi negara.

Kerajaan berharap pegawai-pegawai tertinggi sehinggalah penjawat-penjawat pelaksana yang menguruskan bajet atau perolehan agar mengambilkira aspek timbalbalas atau offset di dalam proses perancangan dan rundingan perolehan. Ini adalah kerana manfaat daripada bajet pertahanan tahunan perlu dikembangkan dan akan memberi impak kepada pembangunan industri pertahanan negara. Elemen Dasar Pertahanan Negara iaitu Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) menghendaki kita sebagai pemegang amanah wang rakyat seharusnya mempunyai fikiran luas dan berstrategik dalam setiap tindakan yang diambil. -- wan saupee