Sunday, July 6, 2008

Berakhirnya era Bill Gates di Microsoft

Perisian Windows jadikan beliau manusia terkaya dunia
MINGGU lepas, William Henry Gates III atau lebih dikenal sebagai Bill Gates meninggalkan syarikat yang dibinanya 1,712 minggu atau 33 tahun yang lalu, Microsoft. 'Meninggalkan' sebenarnya tidak begitu tepat, Bill Gates masih menjadi Pengerusi Bukan Eksekutif. Tugas mentadbir syarikat raksasa itu terletak ke bahu Ketua Pegawai Eksekutif, Steve Ballmer. Hari ini usia Bill Gates baru 52 tahun, tetapi beliau merupakan ikon dalam dunia teknologi maklumat selain menjadi seorang daripada manusia yang paling dikenal di dunia.
Bill Gates telah mengubah dunia pengkomputeran dan sekali gus dunia maklumat. Syarikat yang diasaskannya bersama Paul Allen pada tahun 1975 telah mendefinisikan industri perisian. Perisian 'Windows' dalam segala bentuk variasinya yang dibuat oleh syarikat Microsoft kini merupakan sistem pengendalian (operating system) yang digunakan oleh lebih 90 peratus daripada satu bilion komputer peribadi di dunia hari ini. Windows juga digunakan dalam peralatan tercanggih seperti komputer mini dan PDA. Sistem pengendalian syarikat itu menjadi semacam monopoli dalam industri komputer lalu menimbulkan pelbagai dakwaan undang-undang antitrust baik di Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

Apa yang penting ialah Microsoft telah memudahkan cara manusia berkomputer serta mendemokrasikan budaya berkomputer yang selama ini bertolak dari peralatan yang sukar dan tidak 'user-friendly'. Beliau menyedari perlunya kos pengkomputeran diturunkan pada paras serendah mungkin. Mungkin kadar untungnya kecil tetapi jumlah penggunaannya besar. Beliau juga memisahkan antara perkakasan dan perisian, dua elemen yang menurut beliau lebih baik dibentuk secara berasingan. Oleh sebab itu Windows boleh digunakan sebagai sistem pengendalian apa saja jenama komputer peribadi.
Pada tahun 1995 beliau sudah bercakap tentang 'gelombang besar internet'. Internet pada masa itu masih baru. Tiada siapa yang boleh menduga kesan internet dalam kehidupan kita sehari-hari. Ini termasuk pengaruhnya dalam perdagangan, hiburan dan bersosial. Mungkin Bill Gates mempunyai visi yang jelas dalam menyediakan perisian untuk komputer. Tetapi beliau terlepas pandang kuasa enjin carian yang melahirkan syarikat seperti Yahoo dan Google. Microsoft cuba membeli Yahoo dengan harga RM160 bilion baru-baru ini tetapi gagal. Bill Gates menyedari strategi internetnya gagal walaupun beliau di antara orang pertama yang melihat potensinya.
Bagaimanapun syarikat Microsoft yang diasaskannya kini menggaji lebih 900,000 pekerja di seluruh dunia dan dengan pendapatan melebihi RM160 bilion setahun. Jumlah itu, berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih besar daripada banyak negara di dunia. Malah, pendapatan Microsoft dalam setahun merupakan sepertiga daripada jumlah yang diperuntukkan oleh Kerajaan Malaysia untuk Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Keuntungan syarikat itu tahun lalu saja melebihi RM57.6 bilion, melebihi nilai kekayaan terkumpul semua pemilik syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Apa yang lebih penting ialah kekayaan yang memungkinkan Bill Gates menjadi orang paling kaya di dunia sehingga tahun lalu. Hari ini nilai peribadi beliau dikatakan lebih sedikit RM163 bilion. Pada tahun 1999, nilai beliau ialah RM320 bilion. Ini berdasarkan 1,031,555,600 sahamnya dalam syarikat Microsoft yang tiap satunya bernilai RM315.2 apabila Indeks Dow Jones mencecah 10,000 mata. Pada waktu itu Bill Gates menambah RM14 juta setiap jam pada kekayaannya. Kekayaannya melebihi KDNK semua negara di benua Afrika tidak termasuk Afrika Selatan.
Begitu luar biasa sekali kekayaannya hinggakan penanda aras baru kekayaan ditentukan oleh apa yang disebutkan 'Bill Gates Wealth Index' atau Indeks Kekayaan Bill Gates. Seorang pengkaji menggunakan tahun 1998 sebagai penanda indeks ini. Sekiranya beliau bekerja 14 jam sehari selama 25 tahun (dari 1975 apabila Microsoft bermula), pendapatan Bill Gates berdasarkan nilai kekayaannya ialah AS$1 juta (RM3.2 juta) setiap jam atau kira-kira AS$300 (RM960) sesaat. Pada tahun 1998, keuntungan Bill Gates dalam sebulan mengalahkan jualan semua, kecuali 25 buah syarikat yang disenaraikan dalam Fortune 500.
Kita harus ingat dalam 15 tahun kebelakangan ini, daripada 10 orang yang dianggap terkaya di dunia, enam orang merupakan mereka yang terbabit dalam teknologi maklumat. Apabila syarikat carian Google disenaraikan, modal pasarannya mencecah RM456 bilion. Dengan penyenaraian itu, telah lahir lima billionaire dan lebih 1,000 jutawan. Hari ini juga tiga pemain terbesar di internet Amazon.com, e-Bay dan Google menulis semula hukum hakam dunia siber. Amazon mempunyai 49 juta pengguna, syarikat lelongan e-Bay mencatatkan jualan melebihi RM155 bilion tahun lalu dan Google merupakan enjin carian yang terbesar masa ini.
Memang hari ini Microsoft menjual 75 barangan, kebanyakannya membabitkan perisian, banyak pula dalam pelbagai variasi, menjadikannya juara dalam bidang itu. Bill Gates telah mencapai sasarannya untuk memastikan bahawa 'setiap meja di setiap rumah' akan diletakkan sebuah komputer. Tetapi 33 tahun telah mengubah landskap dunia pengkomputeran dan pemain di dunia siber. Hari ini Microsoft tidak boleh bertahan dengan hanya perisian Windows saja. Teknologi memungkinkan kecanggihan baru yang sekarang ini mencabar keunggulan Windows. Rangkaian broadband yang lebih murah dan akses tanpa wayar yang canggih mengubah dunia dagang, komunikasi dan hiburan.

Apakah yang akan dilakukan oleh beliau selepas ini? Khabarnya beliau akan memberikan tumpuan sepenuh masa pada Yayasan Bill dan Melinda Gates, yang terbabit dalam kerja-kerja kedermawanan. Yayasan ini merupakan yayasan yang mempunyai modal yang terbesar di dunia - RM88 bilion. Ia mengalahkan Lily Endowment Inc (RM46.2 bilion), Yayasan Ford (RM38.8 bilion) dan Yayasan Robert Wood Johnson (RM32.1 bilion).
Yayasan ini juga akan mendapat tambahan modal apabila Warren Buffet, orang yang kedua terkaya di dunia, akan menyalurkan sebanyak RM118 bilion untuk kerja kedermawanan. Sejak Yayasan Bill dan Melinda Gates bermula pada tahun 2000, sebanyak RM14 bilion telah dibelanjakan untuk menangani isu dan penyelidikan kesihatan dan RM17 bilion untuk menangani soal pendidikan di AS.
Sumbangan Yayasan ini baik di India atau benua Afrika akan dapat mengubah kehidupan banyak manusia. Sayugia diingat satu daripada lima penduduk dunia atau 800 juta manusia berada dalam kelaparan. Seorang daripada lima manusia hidup dengan hanya RM3.20 sehari. Penyakit menyebabkan banyak manusia menderita. Lebih 30 juta manusia di benua Afrika dijangkiti HIV. Semua ini memerlukan perhatian. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kerajaan negara-negara terbabit dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah mencuba menyelesaikan sekian banyak masalah dunia. Tetapi, dermawan seperti Bill Gates boleh membantu meringankan beban kemanusiaan.
Dalam sebuah tulisannya berjudul The Way We Give beliau menyebutkan bahawa kedermawanan ada kaitannya dengan 'memberi bagi tujuan memenuhi keperluan asas manusia sejagat'. Beliau memulakan yayasan itu apabila mendapat tahu bahawa dalam setahun lebih sejuta kanak-kanak di negara-negara miskin mati akibat penyakit yang sudah pupus di negara maju. Malaria misalnya mengancam 400 juta manusia tetapi setakat manakah penyelidikan dan bantuan pencegahan bagi mengelakkan kematian? Tibi masih menjadi masalah di banyak negara miskin dan membangun.
Mungkin penyakit seperti malaria dan tibi merupakan penyakit orang miskin yang tidak akan membawa pulangan besar pada syarikat farmaseutikal. Orang miskin tidak mampu membeli ubat mengawal HIV, malaria dan tibi. Lagipun, kebuluran, kepapaan melampau dan penyakit tidak menarik perhatian media. Bagi orang seperti Bill Gates, usaha kedermawanannya ialah untuk memulangkan kembali sebahagian kekayaannya untuk tujuan kemanusiaan. Beliau telah mengubah teknologi maklumat. Kini beliau mahu mengubah kehidupan manusia yang tidak bernasib baik. -- Berita Harian Online

No comments: