Tuesday, August 23, 2011

LIMA `09 MELABUH TIRAI DENGAN KEJAYAAN MEMBERANGSANGKAN

Oleh: Wan Mohammed Saupee, 15 Disember 2009

Langkawi, 1 – 5 Disember 2009: Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2009 (LIMA `09) baru sahaja melabuhkan tirai dengan mencatat kejayaan yang membanggakan. Pameran LIMA `09 yang diadakan selama 5 hari dari 1 – 5 Disember 2009 di Pulau Langkawi telah dirasmikan oleh Y.B. Menteri Pertahanan Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Pameran LIMA `09 melibatkan komponen aeroangkasa dan komponen maritim. Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) menjadi tempat bagi pameran serta penyertaan pempamer produk-produk aeroangkasa. Manakala pameran kapal-kapal perang dan demonstrasi bot diadakan di Awana Porto Malai.
 
LIMA `09 merupakan siri yang ke-10 berjaya menarik penyertaan 325 syarikat daripada 25 negara. Sebanyak 120 syarikat tempatan mengambil bahagian dalam pameran LIMA `09. Lebih membanggakan ialah syarikat Malaysia kumpulan NADI (National Aerospace and Defence Industries Sdn. Bhd.) muncul sebagai pempamer terbesar dalam LIMA `09 tersebut. Antara syarikat-syarikat pertahanan utama dunia yang menyertai LIMA `09 ialah EADS, BAE Systems, Finmeccanica, Rosoboronexport, Eurocopter, Thales, DCNS Group, manakala syarikat-syarikat tempatan antaranya ialah Airod, Boustead Naval Shipyard, CTRM, Sapura, System Consultancy Services, Zetro Services, Satang Jaya, Heitech Padu dan Malaysia Airlines System.
 
Kejayaan penganjuran LIMA `09 dibuktikan apabila merekodkan transaksi urusniaga berjumlah RM4.70 bilion dalam bentuk kontrak dan memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani. "Jumlah ini adalah angka yang mengkagumkan memandangkan keadaan ekonomi global sekarang" kata Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merujuk kepada kelembapan ekonomi dunia masa kini.
 
Y.A.B. Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak semasa sidang akbar selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak dan MoU antara syarikat pertahanan dan Kerajaan melahirkan rasa puas hati dan berbangga atas kejayaan LIMA `09 yang masih berupaya menarik penyertaan yang menggalakkan daripada syarikat-syarikat industri pertahanan antarabangsa dan tempatan. Beliau juga turut menyatakan LIMA `09 adalah yang terbesar dari segi jumlah penyertaan pesawat dan kapal iaitu 54 kapal terbang dan helikopter serta 99 kapal. Antara negara-negara asing yang menghantar pesawat dan kapal perang ke LIMA `09 ialah Singapura, Thailand, Filipina, Amerika Syarikat, Australia, Korea Selatan dan Pakistan.
 
Acara tarikan utama LIMA '09 yang tidak pernah ketinggalan ialah pertunjukan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan demonstrasi mencari dan menyelamat melibatkan bot laju dan helikopter di jeti Awana Porto Malai. Orang ramai telah dipertontonkan dengan aksi-aksi aerobatik yang mendebarkan daripada jet-jet Sukhoi SU-30MKM, MiG-29, Pilatus PC-7 Mk II dan Aermacchi MB-339CM oleh juruterbang daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Pameran ini juga memperlihatkan penampilan sulung Tentera Udara Diraja Singapura (RSAF) dengan jet penyerang Falcon F-16 dan helikopter tempur Apache Longbow AH-64D dengan aksi hebat menggegarkan ruang udara Langkawi. Kapal selam pertama negara KD Tunku Abdul Rahman turut memperlihatkan wajah sulungnya kepada awam di jeti Star Cruise, Awana Porto Malai selain daripada aksi-aksi hebat daripada pasukan khas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dalam demonstrasi menawan musuh dan menyelamat mangsa di laut. Demonstrasi terbang pesawat tanpa pemandu (UAV) juga tidak ketinggalan di mana syarikat CTRM dan Sapura menampilkan UAV masing-masing. Buat pertama kali juga orang ramai berpeluang menyaksikan pesawat pengebom jarak jauh milik Tentera Udara Amerika Syarikat B-52 dari dekat apabila pesawat tersebut membuat terbang lintas pada ketinggian rendah semasa hari pertama LIMA`09.
 
Sepanjang 5 hari LIMA `09 berlangsung telah berjaya menarik 38,000 pelawat perdagangan dan 40,000 pelawat awam sepanjang pameran berlangsung. Pameran aeroangkasa hanya dibuka kepada pelawat awam pada 5 Disember 2009 dengan yuran masuk RM10.00. Sementara itu, kelainan LIMA `09 kali ini ialah orang awam dibenarkan menyaksikan pameran segmen maritim melibatkan kapal-kapal dan demonstrasi bot di Awana Porto Malai secara percuma dari 1 – 5 Disember 2009. Orang ramai dilihat berpusu-pusu ke MIEC untuk melihat dari dekat kapal terbang, helikopter dan jet pejuang serta tidak ketinggalan kapal selam negara KD Tunku Abdul Rahman di Awana Porto Malai.
 
Bagi pihak Kementerian Pertahanan, Bahagian Industri Pertahanan selaku urusetia Jawatankuasa Penyelaras Induk bagi penganjuran LIMA `09 ingin merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua warga awam dan tentera di Kementerian Pertahanan serta agensi-agensi Kerajaan baik di peringkat Persekutuan dan Negeri atas segala kerjasama yang diberikan dalam menjayakan LIMA `09 dengan lancar. Hasilnya LIMA `09 telah mencatatkan satu lagi kejayaan kepada negara dalam penganjuran pameran pertahanan antarabangsa dan mengekalkan status sebagai pameran udara dan maritim terulung di rantau ini.

No comments: